Monday, May 24, 2010

STRES PENYAKIT ‘SENYAP’ YANG BAHAYA

Oleh Intan Mustamin

“Secara fizikalnya saya memang sihat, tetapi dalaman saya berkecamuk. Saya bukan buat-buat sakit. Ikutkan hati, saya tak mahu masuk hospital dan tinggalkan keluarga dan kerjaya saya,”

“Kadang-kadang saya tak rasa tertekan. Saya rasa sihat, tetapi orang sekeliling tak anggap begitu, mereka mula sorokkan pisau. Kebelakangan ini saya kerap dimasukkan ke wad berbanding dulu,” demikianlah keluhan Noreha (bukan nama sebenar), seorang guru yang dimasukkan ke wad Psikiatri, pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Pengakuan sebegini mungkin memeranjatkan kita kerana selama ini kita selalu sahaja mengambil sikap ‘tidak ambil peduli’ tentang penyakit stres atau tekanan. Kesibukkan menjadikan kita lupa bahawa selama ini kita sebenarnya berhadapan dengan penyakit ‘senyap’ ini sama ada sedar atau tidak.

Kita yang menjadi sebahagian daripada pekerja di Malaysia selalu sahaja berhadapan dengan tekanan di tempat kerja. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mendefinisikan tekanan atau stress sebagai satu penyakit yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental dan kerap menyerang masyarakat pada hari ini.

Selain itu, ada juga mentakrifkan stress sebagai keadaan berat yang terpaksa ditanggung oleh seseorang individu, satu desakan atau paksaan dalam melakukan sesuatu yang membebankan. Bukan semua stress negatif kerana sekiranya tekanan dapat diatasi dengan bijak maka tekanan tersebut akan berbentuk positif. Tetapi, jika sebaliknya maka penyakit ini akan bertambah serius dari hari ke hari.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2008 menunjukkan kira-kira 400,227 pesakit mental di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital-hospital kerajaan. Ini bermakna angka itu itu telah meningkat sebanyak 15.6 peratus berbanding 346,196 pesakit pada 2007.

Mungkinkah statistik ini menunjukkan bahawa penyakit stress ini semakin meningkat dan menjadi satu ancaman baru kepada manusia alaf baru? Adakah statistik ini melibatkan kakitangan Perkhidmatan Awam? Apakah cara pengurusan yang terbaik untuk menanganinya?

Jika dilihat dari segi pekerjaan, stress seringkali menjadi penghalang di kalangan pekerja untuk menghasilkan produktiviti kerja yang baik. Kenyataan Payne dan Firth (1989) menguatkan lagi pernyataan di atas dengan mengatakan bahawa stress memberi kesan psikologi dan fizikal pekerja. Tidak hairanlah jika kes-kes ponteng kerja, moral pekerja yang menurun, prestasi kerja semakin teruk dan sebagainya selalu berlaku di sesebuah organisasi.

Perkara yang paling ditakuti ialah sekiranya seorang pekerja berhadapan dengan situasi stress yang serius di tempat kerja, ia akan membawa pelbagai penyakit lain seperti panas baran, ketakutan, murung, hilang tumpuan terhadap pekerjaan, keluh kesah dan sebagainya. Lama-kelamaan pekerja tersebut akan bertambah sukar untuk dikawal kerana keadaan mereka sudah dikawal oleh emosi yang berkecamuk sehingga mereka terkeluar dari landasan pemikiran yang rasional.

Oleh sebab itu, kesukaran untuk mengawal stress atau tekanan akan menyebabkan hilangnya pertimbangan sehingga sanggup melakukan perbuatan yang terkutuk dan kejam. Sebagai contoh kes pembunuhan yang melibatkan pembunuhan empat sekeluarga di Gemencheh, Negeri Sembilan telah menggemparkan dunia media kita. Pembunuhan ini telah dikaitkan dengan gangguan mental dan sakit jiwa akibat tekanan perasaan yang melampau.

Bebanan kerja atau tugas yang semakin banyak, mesyuarat di sana sini, mengejar tarikh akhir yang ditetapkan oleh majikan, dan perangai majikan yang tidak menentu merupakan antara faktor persekitaran yang boleh mewujudkan penyakit stress. Walaupun, penyakit ini bermula dengan senyap tetapi sekiranya ia dibiarkan tanpa rawatan maka ia akan menyebabkan masalah yang lebih serius.

Oleh sebab itu, jika dikaji dan dilihat dari konteks cara rawatan awal beberapa orang bijak pandai dan pakar dalam berhadapan dengan masalah ini telah memberikan cara-cara rawatan yang betul agar masalah ini dapat diatasi dengan bijak.

Langkah menangani Stress

• Mendekatkan diri kepada Tuhan
Pendekatan ini merupakan rawatan yang paling asas dan dari segi agama Islam kerana agama Islam sendiri mengalakkan kita mendekatkan diri kepada-Nya sekiranya kita menghadapi sesuatu masalah. Sebagai seorang pekerja, kita seharusnya mempunyai sifat sabar dalam mengendalikan sesuatu tekanan. Membuat sesuatu kerja haruslah berbekalkan niat bahawa setiap yang dilakukan adalah ibadah.

Amalan bermuhasabah diri dan berzikir juga merupakan antara rawatan yang paling mujarab agar hati sentiasa tenang. Ia merupakan amalan yang dapat menenangkan jiwa sebagaimana firman Allah SWT “Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Surah Ar-ra’d ayat 28.

• Pergaulan yang mesra antara rakan sekerja dan hargai kebolehan diri sendiri

Menjaga pergaulan yang mesra antara rakan sekerja dapat mewujudkan satu suasana yang menggembirakan di samping menenangkan diri. Dapatkan bantuan, sokongan dan pandangan serta berani meluahkan masalah berkaitan tempat kerja kepada rakan-rakan agar mereka dapat meringankan beban yang kita tanggung. Jangan biarkan tekanan terus membelenggu kita.

Sekiranya hubungan mesra dikalangan rakan-rakan telah wujud, secara tidak langsung kita akan mempunyai keyakinan diri yang dapat membantu diri kita berfikir secara lebih rasional. Oleh sebab itu, adalah penting bagi kita untuk menghargai kebolehan diri sendiri. Tanamkan sikap yakin bahawa kita boleh melakukan sesuatu kerja yang diarahkan dengan lebih mudah tanpa menghadapi sebarang masalah.

• Mengamalkan gaya hidup sihat
Ramai orang mengatakan bahawa badan yang sihat dan cergas bermula dari otak. Penyakit tekanan atau stress akan hilang daripada bebanan otak sekiranya kita selalu melakukan senaman. Tambahan lagi sekiranya kita dapat bersenam atau beriadah bersama-sama dengan keluarga tersayang. Ini kerana masa yang terluang akan membuatkan minda kita berehat daripada memikirkan bebanan tugas yang berlambak-lambak. Ikatan silahturrahim antara keluarga juga akan bertambah erat.
• Menerima Stress sebagai cabaran hidup

Sesetengah orang pada masa kini takut untuk berhadapan dengan stress dan selalu berfikiran negatif bahawa stress tidak akan membawa kebaikan. Namun, jika difikirkan dari sudut peningkatan diri, stress merupakan satu cabaran hidup yang perlu kita hadapi bagi meningkatkan kuliti hidup dan memperbaiki cara kerja kita.Cuba berfikiran ke hadapan dan membuka minda kita bahawa tiada perkara yang mudah dilakukan di dunia ini.

• Pengurusan Masa yang baik

Orang yang bebas daripada kekangan masa adalah orang yang mempunyai pengurusan masa yang teratur. Mengutamakan kerja yang harus diutamakan, kurangkan amalan suka bertangguh-tangguh, bergosip sana sini, jangan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah semasa melakukan kerja di pejabat dan sebagainya. Tekanan atau stress akan berkurangan sekiranya kita mempunyai jadual masa yang baik.

Kesimpulannya, tekanan atau stress bukanlah satu penyakit yang kronik yang susah. Ia memerlukan kita sendiri untuk mengawal dan mengamalkan langkah-langkah menangani stress yang betul dalam usaha kita mencapai negara maju menjelang tahun 2020. Jangan ‘sudah terhantuk baru terngadah’ .

1 comment:

  1. thanx 4 the infomation kak..
    nice blog u have...
    jgn lupe sggh blog kite ye...

    ReplyDelete