Thursday, April 22, 2010

MEMORI SEMALAM 2

Semester 2 benar-benar mencabar aku sebagai pelajar PLUMS . Masa inilah aku telah disahkan mengandung setelah hampir setahun sebulan kami menantikan kehadiran cahaya mata pertama kami. Dalam kegembiraan dan rasa kesyukuran, timbul perasaan takut, gelisah, berdebar dan sebagainya di dalam hati kecilku. Manakan tidak aku sekarang memegang status isteri, pelajar dan bakal seorang ibu. Tanggungjawabku sudah pastinya akan bertambah.
Awal-awal bulan, semuanya berjalan seperti biasa tetapi pada apabila kandunganku berusia 4 bulan, aku mula 'dilanda' mabuk mengandung. Aku benar-benar hampir putus asa. Makan tak lalu, minum tak lalu, belajar tak lalu dan semuanya hampir tak kena. Sehinggakan aku pernah dimasukkan ke dalam hospital kerana kekurangan air dalam badan. Keadaan ini mungkin membahayakan kesihatanku.
Aku mula murung dan sedih dengan keadaan sendiri. Namun, aku bersyukur kerana suami tetap menjadi penyokong kuatku selama ini. Dia menjagaku dengan penuh kesabaran. Mungkin kerana dia tahu aku tak akan mampu melalui semua ini tanpa sokongannya. Kadang-kadang aku rasa kasihan dan terharu dengan pengorbanannya.
Hari demi hari perutku semakin membesar. Peperiksaan akhir pula semakin hampir. Apa yang harus aku buat? Aku tidak mungkin dapat belajar seperti dahulu dan pada masa yang sama aku juga tidak mahu pointerku terus menurun. Aku tahu aku bukanlah orang yang cepat mengalah. Bagi orang lain mungkin setakat lulus sudah memadai. Tetapi bagiku setiap 1 markah itu amat bernilai kerana aku bukan hanya mahu setakat lulus sahaja tetapi aku inginkan segulung ijazah dengan kecemerlangan. Inikan pula aku ingin menyambung pelajar ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini. Aku ingin menjadi contoh kepada generasi kami yang akan datang.
Walau bagaimanapun, aku bersyukur dan berserah kepada Yang Maha Esa. Aku diberikan kekuatan untuk mengejar cita-citaku. Aku akhirnya dapat mengharungi peperiksaan akhir semester dua. Namun, melihat keputusan di tangan aku hanya mampu bersyukur dan bersabar kerana pointerku jatuh teruk. Air mataku sahaja yang dapat mengatakan betapa sedihnya aku. Namun, aku tahu mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.
Semester 3, aku masih lagi berhadapan dengan masalah mabuk. Ketika aku berada di semester 3 kandunganku sudah masuk enam bulan kalau tak silap aku. Walau bagaimanapun, aku mula belajar awal-awal kerana tahap kemampuanku belajar tidak seperti dahulu lagi. Rasa mengantuk dan letih selalu sahaja menghantui aku. Apa-apa pun aku tetap akan mengutamakan kandungan aku kerana sudah lama kami menantikan 'orang baru' ini.
Dalam menempuhi cabaran aku semester tersebut, ada juga terselit kelucuan ketika kami peperiksaan akhir semester 3. Ini kerana aku sempat hadir peperiksaan selama 3 hari dan pada hari ke-4 aku terpaksa dimasukkan ke hospital. Anakku rupa-rupanya sudah tidak tahan menunggu lama dalam perut. Aku faham kerana aku terpaksa 'mendera' anakku yang masih dalam perut untuk menghadapi cabaran sebagai seorang pelajar. Kami sama-sama senang dan sama-sama susah. Biarlah dia tahu bahawa bukan semua perkara di dunia ini dapat diperoleh dengan senang. Semuanya memerlukan pengorbanan jika ingin berjaya.
Akhirnya, permata hatiku yang pertama telah lahir dan diberi nama Ahmad Furqan Bin Ahmad Fahmi. Syukur Alhamdulillah......dalam hatiku aku tidak akan sesekali mengalah selepas ini dan aku akan terus menempuhi cabaran hidup sebagai seorang pelajar, isteri dan ibu. Aku tahu Allah sengaja menduga keimanan aku. Syukur aku dapat mengharunginya walaupun aku tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.